DASAR PRIVASI BELKIN

Kami di Belkin komited untuk melindungi privasi anda. Matlamat kami ialah untuk menyediakan bagi anda pengalaman positif pada laman web kami dan ketika menggunakan aplikasi, produk dan perkhidmatan kami, manakala pada masa yang sama memastikan keselamatan Maklumat Peribadi anda, sebagaimana yang ditakrifkan di bawah. Amalan privasi kami akan diterangkan di bawah, selain notis berasingan yang diberi apabila aplikasi, produk atau perkhidmatan dibeli atau dimuat turun (“Dasar Privasi” kami). Dasar Privasi ini meliputi semua Produk Belkin dan laman web Belkin. Dengan mengunjungi laman web Belkin, menggunakan Produk Belkin atau memberi kami Maklumat Peribadi anda (sebagaimana yang ditakrifkan di bawah), anda dengan ini menerima dan memberi keizinan terhadap amalan, terma dan syarat yang diterangkan dalam Dasar Privasi ini.

Belkin berhasrat untuk menjadikan laman web Belkin mudah untuk anda layari dan Produk Belkin mudah untuk anda gunakan. Kami sentiasa menambah baik laman web Belkin dan Produk Belkin untuk membuatkannya lebih mesra pengguna.

Untuk memudahkan anda merujuk, kami akan menggunakan terma berikut dalam Dasar Privasi ini: “Belkin” atau “kami” bermaksud Belkin International, Inc., termasuk anak syarikat dan syarikat gabungannya di serata dunia (termasuk Linksys dan WeMo). “Laman web Belkin” termasuk semua laman web global Belkin, Linksys dan WeMo. “Produk Belkin” termasuk semua aplikasi, produk dan perkhidmatan jenama Belkin, Linksys dan WeMo.

Jika anda berada di Kawasan Ekonomi Eropah (European Economic Area - “EEA”), pengawal data untuk tujuan undang-undang perlindungan data Eropah ialah Belkin Limited di Shipton Way, Express Park, Rushden, Northants, NN10 6GL, UK.

Jenis Maklumat yang Diliputi oleh Dasar Privasi Ini

Belkin mungkin akan mengumpulkan kedua-dua Maklumat Peribadi dan Maklumat Bukan Peribadi. “Maklumat Peribadi” bermakna mana-mana maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti diri anda. Beberapa contoh Maklumat Peribadi termasuk nama, alamat, alamat e-mel dan nombor telefon. “Maklumat Bukan Peribadi” bermakna maklumat yang dengan sendirinya tidak dapat digunakan untuk mengenal pasti diri anda. Beberapa contoh Maklumat Bukan Peribadi termasuk data penggunaan yang berkait dengan laman web Belkin dan Produk Belkin, keutamaan bahasa dan halaman yang dilihat di laman web Belkin.

Maklumat mungkin akan dikumpul bersama dan/atau ditanpanamakan. Apabila maklumat dikumpul bersama, ia akan digabungkan dengan maklumat tentang para pelanggan dan pengguna lain. Apabila maklumat ditanpanamakan, Maklumat Peribadi akan dikeluarkan daripada kelompok data dan baki yang tinggal, yang mengandungi hanya Maklumat Bukan Peribadi, akan digunakan semula untuk tujuan kegunaan dalaman atau luaran, seperti untuk menentukan berapa banyak pengguna pada penghala tertentu itu mempunyai televisyen berdaya Internet dalam persekitaran rangkaian rumah, atau berapa banyak pengguna telah melihat video atau iklan pada laman web tertentu. Maklumat terkumpul yang termasuk Maklumat Peribadi akan dianggap Maklumat Peribadi sehingga ia ditanpanamakan. Maklumat ditanpanamakan dianggap sebagai Maklumat Bukan Peribadi. Secara umumnya, data kegunaan yang dikumpulkan semasa anda mengunjungi laman web Belkin atau menggunakan Produk Belkin akan dikumpulkan bersama dan juga ditanpanamakan, agar ia tidak dapat mengenal pasti diri anda dan dengan itu merupakan Maklumat Bukan Peribadi.

Laman web Belkin dan Produk Belkin tidak diarahkan untuk, dan Belkin juga tidak secara sedar mengumpulkan Maklumat Peribadi daripada kanak-kanak berusia kurang 13 tahun. Jika kami dimaklumi bahawa kami telah mengumpulkan Maklumat Peribadi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun, kami akan memadamkan Maklumat Peribadi ini daripada sistem kami. Jika anda percaya bahawa kami dengan tidak sengaja telah mengumpulkan Maklumat Peribadi daripada atau mengenai kanak-kanak di bawah usia 13 tahun, sila hubungi kami di privacy@belkin.com.

Bagaimana Kami Mengumpulkan Maklumat

Kami mungkin mengumpulkan dan memproses data berikut tentang diri anda:

Maklumat yang anda berikan kepada kami. Jika anda mengisi borang di laman web Belkin atau berhubung dengan kami melalui telefon, e-mel atau selainnya, anda mungkin akan memberi kami maklumat tentang diri anda, yang mungkin termasuk Maklumat Peribadi. Ini termasuk maklumat yang anda berikan apabila anda mendaftar di laman web Belkin, mendaftarkan atau memulangkan Produk Belkin, melanggan mana-mana perkhidmatan kami, membuat carian produk, membuat pesanan di laman web Belkin, mengambil bahagian dalam forum perbincangan atau fungsi media sosial lain di laman web Belkin, menyertai pertandingan, promosi atau tinjauan, mengambil bahagian dalam sesi latihan atau acara lain, memuat turun perisian tegar, perisian dan aplikasi, atau apabila anda melaporkan masalah pada laman web Belkin atau Produk Belkin, atau sebaliknya meminta sokongan. Maklumat Peribadi yang anda berikan kepada kami mungkin akan termasuk nama anda, alamat, alamat e-mel, nombor telefon dan maklumat hubungan yang lain, maklumat kewangan dan kad kredit serta sebarang maklumat lain yang boleh digunakan untuk mengenal pasti diri anda.

Maklumat yang kami kumpulkan mengenai diri anda Kami mungkin secara automatik akan mengumpulkan maklumat semasa anda menggunakan laman web Belkin atau Produk Belkin, termasuk:

  • Maklumat teknikal, termasuk alamat protokol Internet (“IP”) yang digunakan untuk menyambungkan komputer atau peranti anda yang lain kepada Internet, jenis pelayar dan versinya, tetapan zon masa, jenis dan versi pemalam pelayar, sistem pengoperasian dan platform serta keutamaan bahasa. Semua maklumat ini biasanya akan disediakan oleh pelayar web anda dan kami tidak akan memintanya secara khusus.
  • Maklumat tentang kunjungan anda ke laman web Belkin, termasuk rekod lengkap semua alamat Pencari Lokasi Sumber Seragam (Uniform Resource Locators - “URL”) yang anda klik semasa melayari laman web Belkin (termasuk tarikh dan masa); produk yang anda lihat atau cari; masa tindak balas halaman; ralat ketika memuat turun; masa yang dihabiskan di halaman tertentu; video yang ditonton; maklumat interaksi pada suatu halaman itu (seperti menatal, klik dan gerakan penunjuk tetikus pada elemen paparan); serta kaedah yang digunakan untuk belayar keluar dari halaman itu.
  • Sebarang nombor telefon atau alamat e-mel yang digunakan untuk menghubungi pihak sokongan pelanggan.
  • Data penggunaan tentang bagaimana dan bila anda menggunakan Produk Belkin, peranti lain yang bersambung dengan Produk Belkin dan apa ciri Produk Belkin yang anda gunakan.
  • Maklumat dan data teknikal yang dikumpulkan apabila Produk Belkin anda disambungkan kepada Internet, seperti berapa banyak dan peranti yang mana disambungkan kepada rangkaian rumah anda, bila anda menggunakan peranti dan jumlah lalu lintas rangkaian yang terjana. Kami juga mengumpulkan data persekitaran apabila anda menggunakan Produk Belkin tertentu, seperti tetapan utiliti, bacaan suhu dan cahaya di dalam rumah, pengesanan gerakan dan kejadian penggera dibunyikan.
  • Jika anda memberi izin, aplikasi tertentu boleh mengumpulkan maklumat tentang lokasi anda. Jika anda tidak mahu maklumat ini dikumpulkan, jangan izinkan, atau rujuk manual peranti anda untuk mendapatkan arahan tentang cara menukar tetapan lokasi.

Maklumat yang kami terima daripada sumber lain. Kami bekerjasama rapat dengan pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kepada kami (termasuk, contohnya, rakan niaga, subkontraktor dalam perkhidmatan teknikal, pembayaran dan penghantaran, rangkaian pengiklanan, pembekal analitik, pembekal maklumat carian, agensi rujukan kredit) dan kami mungkin akan menerima maklumat tentang diri anda daripada mereka.

Bagaimana Kami Menggunakan Maklumat

Kami mungkin akan menggunakan maklumat yang kami kumpulkan untuk beberapa tujuan. Tujuan ini akan selaras dengan sebab yang anda berikan kepada kami atau untuk tujuan yang berkaitan secara langsung. Kegunaan maklumat tersebut termasuklah seperti yang berikut

:
  • Untuk menyediakan akaun bagi anda di laman web Belkin atau Produk Belkin.
  • Untuk membolehkan pembelian dan muat turun Produk Belkin.
  • Untuk mengesahihkan penggunaan akaun anda atau pembelian dan/atau penggunaan Produk Belkin.
  • Untuk mendaftarkan Produk Belkin anda ke dalam pangkalan data produk kami.
  • Untuk melaksanakan tanggungjawab kami yang timbul daripada mana-mana perjanjian yang dipersetujui antara anda dan kami serta untuk memberi anda maklumat, produk dan perkhidmatan yang anda minta daripada kami.
  • Untuk membantu anda mendapatkan sokongan pelanggan.
  • Untuk berkomunikasi dan mentadbir penyertaan dalam promosi dan tinjauan pelanggan.
  • Untuk menyediakan Produk Belkin yang anda minta.
  • Untuk memberi anda maklumat tentang Produk Belkin yang anda gunakan, seperti ciri baru, pembaikan pepijat, tempoh perkhidmatan tergendala atau penataran.
  • Untuk membantu kami membangunkan Produk Belkin yang baru dan menambah baik Produk Belkin yang sedia ada.
  • Untuk memberi anda atau membenarkan pihak ketiga terpilih untuk memberi anda maklumat tentang barangan atau perkhidmatan yang kami rasa akan menarik minat anda. Kami (atau pihak ketiga yang dipilih) akan menghubungi anda melalui kaedah elektronik hanya jika anda telah memilih masuk untuk menerima maklumat pemasaran. “Pilih Masuk” bermakna bahawa anda telah mengambil tindakan mengakui hendak menerima maklumat, seperti dengan menandakan kotak atau mengklik butang.
  • Untuk memaklumi anda tentang perubahan pada laman web Belkin dan Produk Belkin serta perubahan kepada terma, syarat dan dasar kami.
  • Untuk mentadbir laman web Belkin dan Produk Belkin untuk tujuan operasi dalaman, termasuk penyelesaian masalah, analisis data dan statistik, pengujian, penyelidikan dan tinjauan.
  • Untuk menambah baik laman web Belkin dan Produk Belkin dan untuk memastikan bahawa kandungan dipersembahkan dalam cara yang paling berkesan bagi anda dan bagi komputer atau peranti anda.
  • Untuk memastikan keselamatan laman web Belkin dan Produk Belkin.
  • Untuk memantau dan mengawal atur ciri interaktif laman web Belkin dan Produk Belkin yang mungkin akan anda pilih untuk mengambil bahagian, termasuk forum dalam talian dan bilik bual yang berkaitan dengan Produk Belkin.
  • Untuk membantu anda melayari laman web Belkin.
  • Untuk membantu anda mengakses dan menggunakan ciri Produk Belkin tertentu dari jauh dan untuk membantu anda memantau dan melindungi rumah dan rangkaian rumah anda.
  • Untuk memberi anda maklumat dan syor tentang Internet dan penggunaan utiliti dalam rumah anda.
  • Untuk mengukur atau memahami keberkesanan pengiklanan yang kami persembahkan kepada anda dan orang lain yang mengunjungi laman web Belkin, juga untuk menyampaikan pengiklanan diperibadikan yang relevan kepada anda dan orang lain.
  • Untuk menentukan aspek laman web Belkin dan Produk Belkin yang paling berguna kepada anda dan pengguna lain laman web Belkin dan Produk Belkin.

Berkongsi Maklumat

Dalam apa-apa keadaan sekalipun kami tidak akan menyewakan atau menjual Maklumat Peribadi anda kepada pihak ketiga untuk tujuan pemasaran. Kami hanya berkongsi Maklumat Peribadi anda dengan pihak ketiga untuk tujuan pemasaran jika anda telah memberi kebenaran kepada kami untuk berbuat demikian. Kami akan meminta keizinan anda, seperti dengan balasan e-mel, kotak pilih masuk atau klik penerimaan perjanjian, sebelum kami menggunakan atau berkongsi Maklumat Peribadi anda atas sebarang tujuan selain daripada sebab anda memberikannya, atau sebaliknya sebagaimana yang diperuntukkan oleh Dasar Privasi ini. Kami mungkin akan berkongsi Maklumat Peribadi dengan cara berikut:

  • Dalam lingkungan Belkin untuk tujuan pemprosesan atau penyimpanan data.
  • Dalam kumpulan korporat Belkin, termasuk anak syarikat kami, syarikat gabungan dan bahagian, kesemua mereka mungkin menggunakan maklumat anda untuk tujuan yang diberitahu dalam Dasar Privasi ini.
  • Dengan rakan niaga, vendor perkhidmatan, ejen atau kontraktor pihak ketiga yang dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan atau transaksi yang diminta, termasuk memproses pesanan, mengehos laman web, menyimpan maklumat anda, menyediakan komunikasi e-mel bagi pihak kami dan menyediakan sokongan pelanggan. Kami hanya menyediakan pihak ketiga dengan sejumlah Maklumat Peribadi yang minimum yang perlu untuk menyelesaikan atau menyediakan perkhidmatan atau transaksi yang diminta, dan kami tidak membenarkan pihak ketiga menggunakan Maklumat Peribadi anda untuk tujuan lain selain daripada apa yang telah diberitahu kepada anda.
  • Dengan pembekal perkhidmatan, penasihat atau pihak ketiga lain sehingga ke takat yang perlu secara munasabah untuk meneruskan perundingan atau penyelesaian penggabungan, pemerolehan atau jualan kesemua atau sebahagian aset kami. Jika Belkin bergabung dengan atau diperoleh oleh entiti lain, Maklumat Peribadi akan dipindahkan secara keseluruhan kepada entiti pengganti.
  • Untuk mematuhi undang-undang atau proses perundangan (seperti bergerak balas kepada sepina atau perintah mahkamah), untuk mematuhi tanggungjawab pelaporan kerajaan dan untuk melaksanakan hak undang-undang kami atau membela diri daripada tuntutan undang-undang.
  • Untuk melindungi hak undang-undang kami atau pihak lain, seperti melindungi jenama Belkin atau menyiasat pelanggaran terma penggunaan Belkin, pelanggaran undang-undang, pencerobohan harta intelektual, penyalahgunaan laman web Belkin, penipuan atau kemungkinan ancaman terhadap keselamatan diri.

Selain itu, kami mungkin akan berkongsi Maklumat Bukan Peribadi yang digabungkan atau ditanpanamakan termasuk data penggunaan tentang Produk Belkin dengan pihak ketiga untuk pelbagai tujuan, termasuk menganalisis trend penggunaan perangkaian rumah dan utiliti, untuk menunjukkan kepada pihak ketiga bagaimana produk mereka boleh bekerjasama dengan Produk Belkin dan menambah baik perangkaian rumah secara keseluruhan. Kami telah mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan bahawa maklumat ini tidak boleh dikaitkan kembali kepada diri anda dan kami menghendaki pihak ketiga menyimpan semua maklumat yang dikongsi dalam bentuk yang ditanpanamakan.

Bagi produk WeMo dan Linksys Smart Wi-Fi tertentu, Belkin mungkin akan memberi anda peluang untuk menghubung dan mengantara muka Produk Belkin dengan satu atau lebih produk dan perkhidmatan pihak ketiga, yang akan melibatkan pertukaran maklumat daripada Produk Belkin anda dengan produk atau perkhidmatan pihak ketiga. Keizinan dan kebenaran jelas daripada anda akan diminta semasa menyambung kepada produk dan perkhidmatan pihak ketiga dan boleh ditarik balik oleh anda pada bila-bila masa. Dalam sesetengah kes, jika anda membeli, menggunakan atau memuat turun produk atau perkhidmatan pihak ketiga yang bersambung ke Produk Belkin, anda mungkin juga tertakluk kepada dasar privasi pihak ketiga tersebut. Belkin tidak bertanggungjawab untuk amalan privasi rakan niaga pihak ketiga. Jika anda mengakses Produk Belkin melalui produk pihak ketiga dalam cara ini, anda memberi kebenaran dan bersetuju dengan dasar privasi pihak ketiga tersebut. Kami menggalakkan anda untuk membaca dengan teliti dasar privasi dan terma penggunaan untuk sebarang produk pihak ketiga yang bersambung ke Produk Belkin.

Mana-mana pihak ketiga yang kami kongsikan Maklumat Peribadi anda perlu mengekalkan kerahsiaan maklumat dan dilarang daripada menggunakannya untuk sebarang tujuan lain. Kami akan mengambil semua langkah yang munasabah untuk memastikan pihak ketiga ini mematuhi prinsip privasi yang sama yang mentadbir pengumpulan maklumat peribadi anda.

Semasa membuat pembelian di kedai laman web Belkin, Belkin menggunakan pemproses bayaran untuk menentusahkan maklumat kad pembayaran anda. Maklumat kad bayaran anda disampaikan melalui kepada pemproses bayaran dan tidak dikumpulkan atau disimpan oleh Belkin. Pemproses bayaran diberi kebenaran untuk menggunakan maklumat ini hanya untuk mensahihkan pembelian anda dan bukan untuk tujuan lain.

Pemasaran

Anda mempunyai hak untuk meminta kami agar tidak memproses Maklumat Peribadi anda untuk tujuan pemasaran. Kami akan memaklumi anda (sebelum mengumpulkan Maklumat Peribadi anda) jika kami berhasrat untuk menggunakan Maklumat Peribadi anda untuk tujuan pemasaran, atau jika kami berhasrat untuk mendedahkan Maklumat Peribadi anda kepada mana-mana pihak ketiga untuk tujuan pemasaran.

Kami akan sentiasa memberi anda pilihan tentang Maklumat Peribadi anda. Sesetengah pilihan ditunjukkan lebih awal dalam bentuk notis Pilih Masuk atau kotak penerimaan pemasaran untuk anda atau mengongsikan Maklumat Peribadi anda dengan pihak ketiga. Dalam kes tertentu yang dibenarkan oleh undang-undang, kami juga mungkin akan memberi anda pilihan untuk Memilih Keluar. “Pilih Keluar” bermakna anda telah pun memilih untuk Pilih Masuk, tetapi kemudian menukar fikiran. Satu bentuk Pilih Keluar ialah dengan mengklik pautan Nyahlanggan dalam e-mel pemasaran. Ini akan mengeluarkan diri anda daripada senarai e-mel pemasaran kami. Dasar umum Belkin ialah agar pengguna Memilih Masuk, bukannya Memilih Keluar, untuk menerima maklumat pemasaran dan untuk membolehkan perkongsian maklumat dengan pihak ketiga. Sila ambil perhatian bahawa pilihan Pilih Masuk/Pilih Keluar ini tidak dikenakan kepada penerimaan wajib komunikasi laman web, perkhidmatan atau perisian, seperti maklumat kemas kini atau masa gendala, atau penerimaan pesanan atau pengesahan penghantaran di kedai laman web Belkin, yang mungkin akan anda terima secara berkala kecuali anda membatalkan perkhidmatan atau pesanan anda atau menghentikan penggunaan perisian mengikut terma penggunaan atau perjanjian lesen yang dikenakan.

Jika anda tidak mahu menerima bahan pemasaran langsung daripada kami atau pihak ketiga, selain daripada mengikut arahan “Nyahlanggan” dalam e-mel pemasaran, anda boleh menghantar permintaan e-mel kepada kami di privacy@belkin.com.

Produk Baru Belkin

Semasa anda membeli dan/atau memuat turun Produk Belkin yang baru, kami akan hanya menggunakan Maklumat Peribadi anda untuk tujuan yang dinyatakan (i) dalam Dasar Privasi ini dan (ii) dalam mana-mana pemberitahuan yang diberi kepada anda semasa membeli atau memuat turun.

Di Mana Kami Menyimpan Maklumat Anda

Data yang kami kumpulkan daripada anda boleh dipindahkan dan disimpan di pelbagai lokasi di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat. Ia mungkin juga diproses oleh kakitangan Belkin atau kontraktor yang beroperasi di luar negara tempat anda menetap (termasuk, jika anda berada di Eropah, di luar EEA atau jika anda berada di Australia atau New Zealand (ANZ), di luar ANZ) yang bekerja untuk kami atau salah satu pembekal kami. Kakitangan tersebut mungkin terlibat dalam aktiviti seperti memenuhi pesanan anda, memproses butiran pembayaran anda dan memberi perkhidmatan sokongan. Kami juga menggunakan aplikasi dan perkhidmatan berasaskan awan untuk menyimpan dan memproses Maklumat Peribadi anda, yang mungkin akan berakhir dengan Maklumat Peribadi anda disimpan di luar negara tempat anda menetap (atau EEA atau ANZ).

Kami akan mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan kami dan pembekal perkhidmatan kami tidak memungkiri prinsip privasi yang mentadbir pengumpulan maklumat peribadi kami. Dengan memberikan Maklumat Peribadi anda kepada kami, anda memahami sepenuhnya dan mengizinkan pemindahan, pemprosesan dan penyimpanan Maklumat Peribadi di luar negara tempat anda menetap yang mempunyai standard perlindungan datanya yang mungkin berbeza, dan anda mengizinkan pendedahan dan penggunaan Maklumat Peribadi anda kepada pembekal perkhidmatan luar negara yang mungkin tidak mematuhi sepenuhnya undang-undang tertentu negara anda. Dasar Privasi dan amalan kami direka bentuk untuk menyediakan tahap perlindungan Maklumat Peribadi yang selaras di seluruh dunia. Ini bermakna bahawa walaupun di negara yang undang-undangnya menyediakan kurang perlindungan bagi maklumat anda, Belkin tetap akan mengendalikan maklumat anda dalam cara yang diterangkan dalam Dasar Privasi ini dengan mematuhi semua undang-undang yang berkuat kuasa.

Mengakses dan Mengemas Kini Maklumat Peribadi Anda

Kami memerlukan bantuan anda untuk memastikan bahawa Maklumat Peribadi anda tepat dan terkini, jadi sila maklumi kami apabila terdapat sebarang perubahan kepada Maklumat Peribadi anda. Anda boleh mengakses dan mengemas kini Maklumat Peribadi dan keutamaan komunikasi anda pada bila-bila masa dengan cara-cara berikut:

  • Dengan mengklik pautan “Nyahlanggan” pada mana-mana e-mel anda terima daripada kami.
  • Dengan menghantar e-mel kepada privacy@belkin.com. Sila pastikan agar anda menyertakan nama dan alamat e-mel anda serta maklumat khusus yang relevan tentang maklumat yang hendak anda ubah atau bahan yang tidak dikehendaki lagi.
  • Bagi banyak laman web Belkin dan Produk Belkin, dengan mendaftar masuk ke akaun dalam talian anda di URL yang diberikan semasa anda mendaftar di laman web atau perkhidmatan Belkin.
Kami akan memenuhi permintaan munasabah anda untuk:
  • Membetulkan data anda jika ia tidak tepat.
  • Memindahkan Maklumat Peribadi anda kepada pihak ketiga.
  • Memadamkan Maklumat Peribadi anda, kecuali kami dikehendaki oleh undang-undang untuk mengekalkannya.
  • Memberikan anda salinan Maklumat Peribadi yang disimpan pada rekod semasa kami secara percuma atau pada caj munasabah jika rekod perlu diakses dari rekod yang disandarkan atau diarkib.

Kami akan bergerak balas terhadap permintaan anda dengan segera setelah ia diterima. Kami mungkin akan meminta anda menentusahkan identiti anda sebelum kami boleh mengambil tindakan atas permintaan anda. Jika Maklumat Peribadi anda telah didedahkan kepada pihak ketiga mengikut Dasar Privasi ini, kami akan mengambil langkah yang munasabah untuk memaklumkan pihak ketiga mengenai sebarang maklumat dikemas kini yang anda berikan kepada kami.

Kami meminta anda mengambil perhatian sekali lagi bahawa jika anda memilih untuk tidak lagi menerima maklumat pemasaran daripada kami, kami mungkin masih berkomunikasi dengan anda tentang hal-hal lain, seperti kemas kini produk dan perkhidmatan bagi Produk Belkin yang telah anda beli dan hal-hal berkenaan sokongan pelanggan.

Pengekalan Maklumat Peribadi

Kami akan hanya menyimpan Maklumat Peribadi anda untuk memenuhi tujuan ia dikumpulkan atau sebagaimana yang dikehendaki untuk tujuan perniagaan yang sah seperti yang diterangkan dalam Dasar Privasi ini atau sebaliknya sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang.

Kuki, Suar Web dan Alat Web yang Lain

Kami menggunakan alat pengumpulan data automatik seperti kuki, pautan web terbenam dan widget (secara berkelompok dipanggil “alat web”). Alat-alat web ini mengumpulkan maklumat tertentu yang dihantar oleh pelayar atau peranti mudah alih anda kepada laman web Belkin dan Produk Belkin, seperti alamat IP komputer, jenis pelayar dan pembekal perkhidmatan. Selain itu, Belkin menggunakan program kecil yang dipanggil suar web. Suar web membolehkan laman web memindahkan atau mengumpulkan maklumat melalui permintaan imej grafik. Ini membolehkan Belkin mengumpulkan maklumat seperti alamat halaman yang anda kunjungi, alamat halaman perujuk yang telah anda kunjungi sebelumnya, pelayar atau peranti mudah alih yang anda gunakan dan tetapan paparan anda. Belkin dan rakan kongsi pengiklanannya menggunakan suar web, contohnya, untuk mendapat tahu sama ada pengiklanan pada laman web Belkin dan laman web lain yang mengandungi iklan Belkin itu berkesan, atau sama ada video tertentu pada laman web Belkin ada dilihat pengunjung.

Belkin mungkin menggunakan alat web untuk tujuan berikut:

  • Untuk mengenal pasti negara dan bahasa pengguna dan membezakan anda daripada pengguna laman web Belkin yang lain.
  • Untuk menyimpan maklumat pendaftaran anda untuk kegunaan pada masa hadapan di laman web dan perkhidmatan Belkin.
  • Untuk membolehkan tinjauan pelanggan kelihatan atau tidak kelihatan kepada pelanggan.
  • Untuk mengoptimumkan pengalaman melayari laman web anda dengan memuatkan terlebih dahulu ciri laman web dan perkhidmatan dalam kunjungan seterusnya agar masa memuatkan lebih cepat dan lebih cekap.
  • Untuk memahami bagaimana anda menggunakan dan berinteraksi dengan laman web Belkin dan perkhidmatan.
  • Untuk menyesuaikan dan memberi anda pengalaman tersendiri yang lebih sesuai dengan diri anda semasa mengunjungi laman web Belkin atau laman web pengiklanan rakan kongsi kami atau semasa menggunakan Produk Belkin.
  • Untuk menambah baik laman web dan perkhidmatan Belkin.
  • Untuk mengira pengunjung ke laman web Belkin dan Produk Belkin serta menganalisis lalu lintas laman web, seperti berapa banyak pengunjung telah datang ke laman web Belkin dari iklan yang terdapat di laman web pengiklanan rakan kongsi.

Anda mempunyai pilihan berikut berkenaan penggunaan alat web oleh Belkin:

  • Anda boleh menolak daripada menerima kuki dengan mengaktifkan tetapan bersesuaian pada pelayar atau peranti mudah alih anda. Bagaimanapun, banyak ciri laman web Belkin dan Produk Belkin yang mungkin tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya jika anda nyahdayakan kuki dan kawasan yang menghendaki pendaftaran atau pengesahihan serta transaksi kedai di laman web Belkin tidak dapat dicapai.
  • Bagi sesetengah Produk Belkin, anda boleh pergi ke tetapan akaun dan memilih pilihan yang akan mengeluarkan anda daripada pengiklanan diperibadikan. Jika anda memilih pilihan ini, anda akan menerima pengiklanan generik sebagai sebahagian daripada Produk Belkin ini dan bukan pengiklanan yang telah disesuaikan berdasarkan kesukaan anda.
  • Banyak syarikat pengiklanan merupakan ahli Digital Advertising Alliance atau Network Advertising Initiative dan menyediakan pilihan untuk memilih keluar di laman web mereka.

Kami buat masa ini tidak bergerak balas kepada isyarat “jangan jejaki” pelayar web atau pun mekanisme lain yang menyediakan kaedah untuk memilih keluar daripada pengumpulan maklumat merentasi rangkaian laman web dan perkhidmatan dalam talian yang kami sertai. Jika kami berbuat demikian pada masa hadapan, kami akan terangkan bagaimana kami berbuat demikian dalam Dasar Privasi ini. Kunjungi laman web berikut, www.allaboutdnt.org, untuk maklumat lanjut tentang bidang yang sedang berkembang ini.

Di samping suar web yang digunakan oleh Belkin di laman web Belkin, kami juga membenarkan pihak ketiga tertentu yang mempunyai iklan Belkin di laman web mereka untuk menggunakan suar web mereka sendiri di laman web Belkin. Dalam kes ini, jika anda mengklik atau melihat iklan Belkin di salah satu laman web rakan kongsi pengiklanan dan dihalakan semula atau pergi ke laman web Belkin, rakan kongsi pengiklanan akan menempatkan suar web pada pelayar anda agar kami boleh menjejaki pertukaran pengiklanan (yang memberi tahu kami sama ada sesuatu iklan itu berkesan). Suar web ini akan muncul pada pelayar anda tanpa mengira sama ada anda enggan menerima kuki atau menyatakan bahawa anda tidak mahu dijejaki di laman web Belkin atau di Internet secara umumnya. Bagaimanapun, ia hanya digunakan oleh Belkin untuk tujuan terhad menjejaki pertukaran pengiklanan dan tidak akan mengenal pasti diri anda secara peribadi dengan apa-apa cara sekalipun.

Pihak ketiga boleh mengumpulkan maklumat tentang aktiviti dalam talian anda merentasi masa dan laman web yang berbeza apabila anda menggunakan laman web Belkin. Untuk mengelakkan penjejakan oleh pihak ketiga ini, anda boleh membuat pilihan di atas untuk menolak kuki, walaupun Belkin tidak boleh mengawal dan tidak dapat mengesahkan sama ada pihak ketiga ini memenuhi pilihan pelayar anda untuk tidak dijejaki.

Jagaan Keselamatan

Kami berusaha memastikan penjagaan pentadbiran, teknikal dan fizikal yang munasabah untuk melindungi maklumat yang dikumpulkan oleh laman web Belkin dan Produk Belkin. Malangnya, penghantaran maklumat melalui Internet bukanlah 100% selamat. Walaupun kami akan cuba sedaya upaya untuk melindungi Maklumat Peribadi anda, kami tidak dapat menjamin keselamatannya; sebarang penghantaran adalah atas risiko anda sendiri.

Penting untuk diambil perhatian bahawa jika anda menggunakan komputer atau peranti yang boleh diakses oleh orang lain, mereka mungkin boleh mengakses Maklumat Peribadi yang tidak disulitkan. Jika anda tidak ingin maklumat anda dicapai oleh orang lain, berhati-hatilah apabila menggunakan komputer atau peranti awam atau apabila menggunakan mana-mana komputer atau peranti yang dapat dicapai oleh pengguna yang tidak anda benarkan.

Kami mengesyorkan agar anda mengambil langkah berjaga-jaga dalam melindungi Maklumat Peribadi anda semasa melayari Internet. Sebagai contoh, menukar kata laluan anda dengan kerap, menggunakan gabungan huruf dan angka apabila mencipta kata laluan, dan memastikan anda menggunakan pelayar yang selamat. Anda sepatutnya juga sedar bahawa nama yang anda beri kepada peranti, rangkaian rumah dan perkhidmatan berdaya Wi-Fi anda (juga dikenali sebagai “nama mesra”) mungkin akan dapat dikesan oleh orang lain di luar rumah anda, jadi anda tidak sepatutnya menggunakan Maklumat Peribadi sebagai sebahagian nama mesra anda.

Kemas Kini dan Penataran

Produk Belkin mungkin akan dikemas kini atau ditatar dari semasa ke semasa untuk menyediakan ciri tambahan, menangani isu teknikal dan secara umum menjadikan pengalaman pengguna anda lebih baik. Sesetengah Produk Belkin mempunyai ciri kemas kini automatik yang memberi kami kebolehan untuk membuat kemas kini secara automatik. Anda boleh menukar pilihan kemas kini automatik dengan menukar tetapan anda dalam maklumat akaun Produk Belkin. Dalam kes terhad, kemas kini masih tetap dilakukan tanpa mengira tetapan kemas kini automatik tersebut. Sebagai contoh, kami mungkin akan menyediakan kemas kini automatik yang menghalang atau membetulkan kerentanan keselamatan atau pelanggaran pada rangkaian anda.

Laman Web yang Dipautkan kepada Pihak Ketiga dan Media Sosial

Laman web dan perkhidmatan dalam talian Belkin mungkin mengandungi pautan kepada laman web atau perkhidmatan dalam talian yang dikendalikan oleh pihak ketiga. Produk Belkin mungkin juga akan menggunakan atau menawarkan produk dan perkhidmatan daripada pihak ketiga, seperti aplikasi pihak ketiga yang boleh berfungsi bersama dengan Produk Belkin. Sebaik sahaja anda meninggalkan laman web Belkin dan Produk Belkin, aktiviti anda akan ditadbirkan oleh terma penggunaan dan dasar privasi laman web dan perkhidmatan dalam talian pihak ketiga. Belkin tidak bertanggungjawab terhadap amalan privasi atau kandungan laman web dan perkhidmatan dalam talian ini, dan kami menggalakkan anda agar membaca dengan teliti terma penggunaan dan dasar privasi mana-mana laman web dan perkhidmatan dalam talian yang anda kunjungi.

Laman web Belkin dan Produk Belkin mungkin akan mengandungi ciri media sosial, seperti butang “Suka” Facebook. Ciri-ciri ini boleh mengumpulkan maklumat tentang alamat IP peranti anda, menetapkan kuki agar memudahkan interaksi dengan ciri media sosial atau memautkan anda kepada laman web tempat anda boleh menyiarkan Maklumat Peribadi. Semua interaksi dengan ciri media sosial ditadbirkan oleh dasar privasi syarikat media sosial yang menyediakan ciri ini.

Forum/Bilik Bual

Jika anda mengambil bahagian atau mengirimkan maklumat kepada forum perbincangan atau bilik bual pada mana-mana laman web Belkin atau Produk Belkin, anda hendaklah sedar bahawa maklumat yang anda berikan di sana boleh disebarluaskan kepada orang lain, dan boleh dibaca, dikumpulkan, dimajukan atau digunakan oleh pengguna lain forum ini, sama ada dari dalam atau dari luar Belkin yang boleh mengakses forum ini. Maklumat ini mungkin juga digunakan untuk menghantar kepada anda mesej yang tidak diminta. Sila fahami bahawa suatu forum itu mungkin mempunyai peraturan dan syarat tambahan. Pendapat setiap peserta dalam forum atau bilik bual adalah pendapatnya sendiri dan tidak sepatutnya dianggap sebagai pendapat Belkin. Kami tidak bertanggungjawab terhadap Maklumat Peribadi atau mana-mana maklumat lain yang anda pilih untuk serahkan dalam forum-forum ini, atau akibat daripada mana-mana serahan tersebut. Jika pada bila-bila masa anda ingin mengeluarkan penyiaran, sila e-mel kepada kami di privacy@belkin.com. Perlu diingati bahawa pengeluaran penyiaran dari forum atau bilik bual tidak bermakna bahawa penyiaran tidak akan dipadam dari sistem kami atau ia telah dikeluarkan sepenuhnya dari Internet

.

Kemas Kini terhadap Dasar Privasi ini

Kami mungkin akan mengemas kini Dasar Privasi ini dari semasa ke semasa, jadi sila semak dengan kerap. Jika kami menukar Dasar Privasi, kami akan siarkan versi semakan di sini, dengan tarikh kemas kininya. Jika kami membuat perubahan penting kepada Dasar Privasi, kami akan maklumi anda dengan e-mel atau memampangkan notis ini di laman web ini

.

Cara Menghubungi Kam

i

Sekiranya anda mempunyai soalan berkenaan privasi atau ulasan yang berkaitan dengan Dasar Privasi ini, sila hubungi kami di privacy@belkin.com. Jika anda berada di Singapura, anda boleh menghubungi Alison Tan di privacy.sg@belkin.com jika anda mempunyai sebarang soalan atau ulasan berkaitan privasi.

Jika anda mempunyai aduan atau kebimbangan mengenai Dasar Privasi ini, sila hubungi kami di e-mel di atas. Kami memandang serius terhadap semua aduan mengenai pelanggaran undang-undang privasi. Seseorang daripada Belkin akan menyiasat aduan anda dan memberi respons kepada anda dalam tempoh masa yang munasabah.

Dikemas Kini pada 20 Oktober 2014